Monday, November 23, 2009

Keinsafan

Saya baru sahaja habis membaca buku berjudul Travelog Dakwah yang ditulis oleh Prof. Mohd Kamil Ibrahim, Pengarah UiTM Johor di Segamat. Saya beli buku tersebut semasa berbengkel ISO di Kuala Lumpur pada minggu lepas. Itu pun secara kebetulan. Sepatutnya kami telah beredar ke Kuantan sebaik sahaja bengkel tersebut selesai pada jam 1 tgh di Hotel Seri Cempaka Cheras. Disebabkan kami terpaksa menunggu seorang rakan sekerja yang menghadiri mesyuarat hingga pukul 5 petang, kawan-kawan pun menyarankan kami jalan-jalan cari makan di Tesco. Dalam kesempatan tersebut saya menjengah di kedai buku Popular dan "terjumpa" serta "terbeli" 2 buah buku :) Salah satunya adalah buku Travelog Dakwah.

Isi kandungan buku tersebut memang sungguh terkesan di hati kerana saya pun lebih kurang sama dengan penulis dari segi kejahilan ilmu akhirat. Ilmu duniawi, no problem. Maklumlah, belajar sampai ke menara gading, di negara omputih pulak tu. Sekiranya buku tersebut ditulis oleh seorang ustaz untuk mengajak ke arah kebaikan, saya kira ajakan tersebut tidak begitu memberi kesan yang mendalam bagi diri saya kerana kita sedia maklum seorang ustaz memang baik dan tugasnya mengajak kepada kebaikan. Tetapi apabila seseorang yang jahil, dan menemui "jalan pulang", ajakannya lebih mengujakan saya.

Bila saya amat-amati segala yang diamalkan oleh beliau setelah diberi peluang untuk menjadi seorang "born again Muslim" memang tidak terikut oleh saya yang daif ini. Terjaga malam memang kerap, boleh dikatakan saban malam, tetapi hanya sekadar untuk melawat bilik air. Setelah selesai hajat, maka tidur semula adalah lebih menyeronokkan dari beribadah. Tetapi, seperti Muslim yang lain saya juga bercita-cita tinggi menggunung untuk masuk syurga tingkat teratas! Memang tidak logik. Walau bagaimanapun, Allah maha berkuasa.




No comments: