Perlukah pelajar-pelajar mengambil kelas tambahan (tuition)? Menurut pakar motivasi Dr Shukri Abdullah PhD, yang sentiasa keudara di rancangan-rancangan TV dan radio tidak perlu. Ibu bapa hanya perlu prihatin untuk memberi pengetahuan tambahan sekiranya anak-anak sangat memerlukannya iaitu dalam subjek yang mereka lemah sahaja. Dan kata beliau lagi jangan ambil pekej walaupun lebih murah. Contohnya anak kita lemah dalam sejarah. Kalau tuition sejarah sahaja harganya RM10 tapi kalau ambil pekej 3 subjek (sejarah, geografi, dan sains) harganya cuma RM20. Secara logik akalnya, lebih menguntungkanlah kalau ambil pekej tetapi sebenarnya ia lebih merugikan sebab anak-anak akan menumpukan perhatian kepada subjek yang mereka lebih mahir. Jadi, subjek yang mereka lemah masih tetap lemah.
Tetapi tidak begitu keadaannya di negara kita. Menghantar anak-anak ke kelas tambahan telah menjadi seakan-akan trend. Ibu-bapa berasa "janggal" atau "pelik" sekiranya anak-anak mereka tidak dihantar ke kelas-kelas tuition. Saya merasa lega apabila Dr Shukri menyatakan hal tersebut sebab saya dan suami sememangnya tidak menghantar anak-anak ke tuition. Nak kata anti tu tidak juga sebab kami pernah hantar Danial tuition penulisan Bahasa Melayu 3 minggu sebelum dia ambil UPSR . Alhamdulillah setakat ini kedua-dua Danial dan Yasmin berjaya mendapat 5A dalam UPSR malahan lebih dari 10A kerana mereka sekolah agama (ada banyak lagi subjek tambahan SPPM).
Isu ini berbangkit pada pukul 5 pagi tadi ketika saya, Mustafa, Danial, dan Yasmin sedang menikmati sahur. Tiba-tiba saya berkata "kesian anak-anak yang tidak sempat enjoy waktu malam dan hujung minggu kerana terpaksa hadir berbagai tuition". Apalagi, Danial dan Yasmin pun mencelah "mak dan abah sporting, kami tak rasa tertekan sebab tu kami ok dalam exam. Kalau kami dapat B dan kadang-kadang C pun tak de lah kene marah atau leter. Agaknya kalau kena marah mungkin kita orang akan dapat banyak gred D pulak". Saya terfikir, mungkin ada benarnya. Saya selalu berpesan kepada anak-anak supaya jangan tension atau stress semasa nak exam. Saya selau pesan "ala, senang je, mana ada Cik Gu soal benda-benda yang kita belum belajar dalam exam. Cuma yang penting anak-anak beri 100% tumpuan dalam kelas macam emak masa sekolah dulu (hehehe, masuk bakul angkat sendiri). Jangan sekali-kali ponteng, dan jangan menyakitkan hati guru sebab takut tak berkat ".
Walau bagaimanapun, kami suka hantar mereka ke kem-kem ibadah musim cuti, kem motivasi, kelas musik, kelas renang, kelas melukis, dan seumpamanya mengikut minat mereka masing-masing dengan harapan mereka akan sentiasa ceria dan bermotivasi dalam mengharungi kehidupan sebagai kanak-kanak. Kami juga sangat menggalakkan mereka membaca, malahan kesemua anak-anak saya adalah "kutu membaca" terutamanya novel. Sejak mereka bayi lagi kami telah "menyepah-nyepahkan" buku di serata rumah kecuali tandas. Kami pastikan yang kami pun sentiasa membaca di hadapan mereka. Ibu bapa adalah model terbaik. Mereka sememangnya bebas untuk menonton TV atau bermain komputer walaupun malam hari-hari peperiksaan. Tapi yelah, lain padang, lain belalang. Apa pun saya syukur kerana cara kami mendidik menampakkan hasil yang "lumayan". Cuma sekadar berkongsi pengalaman.
No comments:
Post a Comment